.

Annyeonghaseyo chinggu. Welcome to my lovely blog. I love to shout everything about my ultimate bias. I also make some tutorial and freebies. Do visit me, leave your footstep in my cbox.

your cbox code here



© 2013 - Skins by Mayra and someone help me is Yasmin. Cute icon from Pixel and other from wana.
~ SAYIDINA HAMZAH BIN ABDUL MUTALIB ~
Friday, March 1, 2013 - {0 Infinity}





PENGHULU PARA SYUHADA

Nabi SAW bersabda yang bermaksud , " Malaikat Jibrail datang menemuiku dan memaklumkan bahawa nama Hamzah bin Abdul Mutalib telah tertulis sebagai warga langit yang tujuh . Hamzah bin Abdul Mutalib adalah Singa Allah dan Singa RasulNya . Tidak ada yang membuatkan aku begitu marah selain daripada apa yang berlaku hari ini ( iaitu peristiwa menyeksa dan mencacatkan jasad beliau ) . "


Apabila di sebut saja nama beliau , siapa yang tidak mengenalinya . Beliaulah bapa saudara kepada Nabi Muhammad SAW yang terkenal dengan panggilan ' Singa Allah ' ( Assadullah ) yang digeruni oleh orang - orang kafir Quraisy , hinggakan apabila disebut sahaja nama beliau , akan menggeletarlah seluruh tubuh badan mereka kerana ketakutan .


INFO SEJARAH


Sayidina Hamzah terkenal dengan gelaran ' Singa Allah ' ( Assadullah ) yang diberikan oleh Rasulullah kerana ketangkasan dan kehebatan beliau dalam peperangan menentang musuh Allah . Selain daripada itu beliau juga dikenali sebagai ' Singa Syurga ' ( Assadul Jannah ) . Semasa beliau hidup , beliau juga dipanggil sebagai Abu Umara dan Abu Ya'la . Walau bagaimanapun , beliau paling dikenali dengan gelaran ' Penghulu Para Syuhada ' yang dipanggil oleh Nabi Muhammad SAW , setelah beliau gugur syahid dalam Perang Uhud . Menurut ahli sejarah Islam , Sayidina Hamzah bukan setakat bapa saudara Rasulullah SAW . Beliau juga sebenarnya adalah abang susuan kepada Rasulullah SAW kerana mereka pernah disusukan oleh ibu susuan yang sama iaitu Halimatus Saadiah .


Sayidina Hamzah tergolong sebagai orang yang sangat rapat dengan Rasulullah SAW . Hal ini bukan sahaja kerana beliau mempunyai hubungan pertalian darah , tetapi juga kerana umur di antara kedua mereka yang hampir sebaya . Menurut ahli sejarah Islam , perbezaan umur di antara Rasulullah SAW dengan Sayidina Hamzah ialah sekitar dua tahun . Sayidina Hamzah dikatakan lahir pada tahun 568 Masihi sedangkan Rasulullah SAW pula lahir pada tahun 570 Masihi .


Sayidina Hamzah memeluk Islam agak lewat sedikit jika dibandingkan dengan Sayidina Abu Bakar dan Sayidina Ali , sepupu Rasulullah SAW . Walau bagaimanapun , beliau memeluk agama Islam lebih dahulu daripada Sayidina Umar . Sebelum memeluk agama Islam , Sayidina Hamzah memang cenderung untuk membela dan melindungi anak saudaranya , Rasulullah SAW . Walau bagaimanapun , hal itu dilakukan lebih kepada memenuhi ajakan abang beliau , Abu Talib .


Kisah pengislaman Sayidina Hamzah bermula apabila beliau baru balik daripada berburu dan pergi ke Kaabah , yang menjadi tempat berkumpulnya para pembesar Quraisy dan penduduk Makkah ketika itu . Hajat beliau ialah untuk berbual dengan kawan-kawannya . Ketika itu busur panah tersandang di bahunya . Tiba-tiba seorang hamba perempuan kepada seorang pembesar Quraisy bernama Abdullah bin Jad'an mendekati beliau . Hamba perempuan tersebut berkata kepada Sayidina Hamzah ,


" Alangkah aibnya wahai Bani Abdul Manaf , kiranya engkau melihat sebentar tadi , bagaimana Abdul Hakam ( gelaran kepada Abu Jahal ) mencaci maki Muhammad yang sedang duduk . Muhammad hanya berdiam diri ketika dia dicaci dengan pelbagai kata-kata yang hodoh . Kemudian Abu Jahal berlalu dari sisi Muhammad dengan megahnya sambil ketawa . "


Menyirap darah Sayidina Hamzah apabila mendengar kata-kata hamba perempuan itu . Tiba-tiba dia berasa begitu sedih dan sayu mengenangkan nasib anak saudaranya itu . Anak saudara yang kematian ayah ketika masih kecil dan sekarang ini dicaci maki sesuka hati oleh orang-orang Quraisy hanya kerana dia menyeru mereka untuk berbuat baik , tidak menyembah berhala , minum arak , berjudi , berzina dan melakukan segala bentuk kezaliman .


Sayidina Hamzah berasa begitu bersalah kerana sebagau salah seorang bapa saudara kepada Rasulullah SAW , beliau sepatutnya membela nasib anak kepada arwah abangnya itu . Segeralah timbul rasa keinsafan dan kesedaran dalam diri beliau . Beliau segera mencari Abu Jahal . Ditemuinya Abu Jahal sedang bersembang di suatu penjuru Kaabah . Sayidina Hamzah lalu melompat ke arah tempat Abu Jahal duduk lalu dipukulnya kepada Abu Jahal dengan hulu pedangnya sehingga bengkak-bengkak kepala dan mukanya . Sambil tangannya masih memegang pedang , Sayidina Hamzah berkata kepada Abu Jahal ,


" Apakah Akan engkau maki lagi Muhammad sesuka hatimu ? Ketahuilah sesungguhnya aku telah memeluk agama yang dibawa oleh Muhammad . Jika engkau berani , silalah balas pukulan aku sebentar tadi ! "


Ketika itu , beberapa orang yang ada di situ bangkit untuk membantu Abu Jahal dan bersiap sedia untuk melawan Sayidina Hamzah . Melihat Sayidina Hamzah tidak sedikit pun berundur atau berasa takut , akhirnya mereka segera membatalkan niat masing-masing lalu membiarkan Sayidina Hamzah . Sayidina Hamzah kemudian beredar dari situ lalu pergi berjumpa dengan Nabi Muhammad SAW dan mengucap dua kalimah syahadah . 


Bermulalah detik baru dalam kehidupan Sayidina Hamzah . Jika dahulu , beliau banyak menghabiskan masanya dengan berburu atau kegiatan-kegiatan yang kurang berfaedah , kini seluruh kehidupannya ditumpukan kepada Nabi Muhammad SAW . Ke mana sahaja anak buahnya itu pergi , beliau akan setia berada di sisi demi menjaga keselamatan baginda .


Berita pengislaman Sayidina Hamzah umpama petir yang menyambar Kota Makkah . Berita itu segera tersedar dan menjadi bahan berita yang hangat diperkatakan . Berita tersebut juga telah mendorong semakin ramai orang Quraisy yang memeluk Islam . Pengislaman Sayidina Hamzah juga merupakan satu tamparan hebat kepada para pembesar Quraisy yang tidak putus-putus berusaha menghalang kerja-kerja dakwah oleh Nabi Muhammad SAW .


Hal ini juga telah mendorong para pembesar Quraisy untuk menghantar wakil mereka bagi menemui Nabi Muhammad SAW . Tujuannya tidak lain daripada memujuk baginda supaya berhenti daripada menyebarkan agama Islam . Pangkat , kedudukan dan harta ditawarkan kepada baginda , tetapi baginda tetap menolaknya . Baginda tetap istiqamah dalam perjuangan menegakkan yang hak dan menghapuskan kebatilan .


Kecintaan Sayidina Hamzah terhadap Rasulullah SAW dan ajaran Islam akhirnya telah terdorong beliau untuk ikut berhijrah ke Madinah . Beliau sanggup berkorban dengan meninggalkan corak hidup kebangsawanan , harta kekayaan , pangkat dan kedudukan demi untuk dapat terus berada di sisi Rasulullah SAW . Ditinggalkan segala kenangan indah semasa berada di Makkah . Ditinggalkan tempat bermain dan tempat dia menjalankan aktiviti perburuan . Bahkan ditinggalkan keluarga dan sanak saudara tersayang . Segala-galanya dilakukan demi membuktikan cinta dan kasih sayangnya kepada Nabi Muhammad SAW dan ajaran Islam yang menjadi pegangan hidupnya .


Di Madinah , bermulalah era baru dalam kehidupan Sayidina Hamzah . Beliau tidak mahu membebankan orang lain dengan kehidupannya . Beliau telah pergi berjumpa dengan Rasulullah SAW bagi mendapatkan nasihat tentang apa yang perlu dilakukannya . Ketika mana Rasulullah SAW mempersaudarakan orang-orang Islam dari Makkah yang berhijrah bersama baginda iaitu kaum Muhajirin , dengan orang-orang Islam di Madinah iaitu kaum Ansar , apa yang berlaku kepada Sayidina Hamzah adalah sebaliknya . Beliau dipersaudarakan dengan bekas hamba baginda iaitu Zaid bin Harithah , yang kemudian menjadi anak angkat baginda .


Dari satu segi , kita dapat melihat kebesaran jiwa dan keterbukaan minda serta ketaatan Sayidina Hamzah yang begitu kuat menghunjam ke dasar . Beliau adalah seorang bangsawan Quraisy , dari keluarga yang ternama tetapi dipersaudarakan dengan bekas seorang pelayan . Tidak sedikit pun timbul rasa terkilan di hati beliau apatah lagi untuk membantahnya . Dari satu segi yang lain , Rasulullah SAW dilihat tetap ingin meletakkan Sayidina Hamzah dalam lingkungan kekeluargaan baginda . Maka itulah beliau dipersaudarakan dengan Zaid , yang telah dimerdekakan dan menjadi anak angkat yang amat disayangi dan dikasihi baginda .


Strategi perjuangan Rasulullah SAW memasuki fasa baru apabila baginda berhijrah ke Madinah . Jika sebelum ini baginda membiarkan para penganut Islam diseksa dan harta benda mereka dirampas , maka sekarang sudah sampailah masanya bagi umat Islam untuk mempertahankan serta mempertahankan diri . Allah SWT telah menurunkan wahyu dan mengizinkan umat Islam untuk berperang . Rasulullah SAW lalu mengirimkan satu pasukan yang terdiri daripada 30 orang Muhajirin dengan dipimpin sendiri oleh Sayidina Hamzah ke Saiful Bahar , iaitu tidak jauh dari tempat yang bernama 'Ais . Di sini pasukan yang di pimpin oleh Sayidina Hamzah telah bertembung dengan satu pasukan tentera Quraisy yang dipimpin oleh Abu Jahal berserta 300 orang . Sedikit pun tidak terasa gentar di dada Sayidina Hamzah melihat bilangan tentera musuh yang berlipat kali ganda itu . Bahkan beliau mempersiapkan pasukannya untuk menghadapi Abu Jahal dan tenteranya . Walau bagaimanapun , pertempuran tersebut tidak berlaku setelah sempat dicegah oleh Majdy bin Amru Al-Juhany .


Tidak beberapa lama selepas peristiwa itu , berlakulah perang yang pertama dalam sejarah Islam yang dikenali sebagai Perang Badar . Perang Badar adalah medan bagi Sayidina Hamzah untuk menunjukkan kepahlawanannya . Perang Badar juga turut menjadi medan bagi beliau untuk menuntut bela di atas penderitaan Rasulullah SAW dan umat Islam yang terpaksa berhijrah dari Makkah , demi mengelakkkan diri daripada penganiayaan dan kezaliman pembesar-pembesar Quraisy . Perang Badar berlaku pada tahun 2 Hijrah atau persamaan tahun 624 Masihi . Sayidina Hamzah diberi peranan utama oleh Rasulullah SAW dala, perang ini dan memimpin salah satu dari pasukan tentera Islam yang berjumlah seramai 313 orang , sedangkan tentera kafir Quraisy berjumlah seramai 1 , 000 orang .


Ketika itu , tentaera Islam dalam keadaan serba kekurangan sama ada dari segi kenderaan , mahupun persenjataan . Sedangkan tentera kafir Quraisy pula memang mempunyai kelengkapan perang yang serba baik . Walau bagaimanapun , hal ini sama sekali tidak mematahkan para pejuang Islam termasuklah Sayidina Hamzah . Ketika perang hampir meletus , tampillah Al-Aswad bin Abdul Asad Al-Makhzumy . Beliau dengan sombong bersumpah untuk minum di kawasan mata air atau kolam takungan air milik tentera Islam . Beliau dengan lantang mencabar sesiapa sahaja daripada tentera Islam yang berani tampil menghalangnya .


Melihat akan keadaan itu , tampillah Sayidina Hamzah , singa Allah . Maka berlakulah perang tanding di antara kedua mereka . Setelah berlaku tetak menetak , tikam menikam dan elak - mengelak , akhirnya Al-Aswad tersungkur dek penangan pedang Sayidina Hamzah . Tersungkur rebahlah dia . dalam keadaan begitu , dia masih berusaha untuk merangkak - rangkak pergi ke kolam air milik tentera Islam bagi melaksanakan hasratnya . Sayidina Hamzah sekali lagi menghunuskan pedangnya lalu mati tergeletaklah musuh Allah tersebut .


Pembesar-pembesar Quraisy yang ikut serta dalam peperangan itu segera mencabar Nabi Muhammad SAW . Mereka mendesak agar baginda mengeluarkan pahlawan Islam dari kalangan bangsawan Quraisy supaya dapat berentap dengan pahlawan-pahlawan mereka . Maka ketika itu tampillah tiga sosok tubuh pahlawan Islam dari kalangan bangsawan Quraisy , menyahut cabaran . Salah seorang daripada mereka tidak lain tidak bukan , Sayidina Hamzah bin Abdul Mutalib . Turut serta bediri di sisi beliau ialah Ubaidah Ibnul Haris dan Sayidina Ali bin Abi Talib . Berlakulah perang tanding yang hebat . Sayidina Hamzah berjaya menewaskan lawannya iaitu Utbah . Begitu juga dengan Sayidina Ali . Ubaidah Ibnul Haris pula tewas sebelum Sayidina Hamzah dan Sayidina Ali datang membantu lalu menumpaskan lawannya , sekali gus menuntut bela di atas kematian Ubaidah .


Setelah kekalahan para bangsawan Quraisy , dengan segera mereka menyerbu ke arah tentera Islam . Serangan mereka segera disambut oleh para pahlawan Islam dengan penuh keberanian . Sayidina Hamzah berjuang dengan gagah berani dalam peperangan ini dan menebus serta menikam tentera musuh . Begitu juga dengan tentera Islam yang lain . Akhirnya tewaslah tentera musuh . Seramai 70 orang tentera musuh dapat dibunuh sementara 70 orang lagi dapat ditawan . Di pihak tentera yang Islam pula , seramai 14 orang gugur syahid . Turut terbunuh dalam peperangan ini ialah beberapa orang pembesar mereka.


Kembalilah tentera kafir Quraisy Ke Makkah dengan perasaan mali dan dendam bersarang di dada . Salah seorang daripada mereka melaung-laungkan kepada musyrikin Makkah dengan berkata ,


''Sesungguhnya Hamzah bin Abdul Mutalib telah menghina dan membunuh bangsawan-bangsawanmu . Pedangnya telah memancung kepala ramai pembesar-pembesarmu . Apakah kamu tidak malu dan berasa terhina ? Ayuh , bangkitlah dan balas dendamlah kamu terhadap beliau ! ''


setelah berakhirnya Perang Badar , Sayidina Hamzah kembali ke Madinah dan menjalani kehidupan seperti biasa . Pada wajahnya jelas terbayang rasa syukur dan kepuasan yang tidak terhingga kerana dapat membunuh ramai pembesar Makkah yang selama ini telah memaki hamun serta menyeksa Nabi Muhammad SAW dan orang-orang Islam . Walau bagaimanapun , beliau dan orang-orang Islam tidak dapat berehat lama . Setahun kemudian iaitu pada bulan Syaaban tahun 3 Hijrah bersamaan 625 Masihi , datanglah angkatan perang Quraisy yang lebih besar bertujuan untuk menyerang dan menghancurkan Madinah . Tujuan utama mereka ialah untuk membunuh Nabi Muhammad SAW dan membalas dendam di atas kekalahan mereka dalam Perang Badar . Pasukan kali ini diketuai oleh Abu Sufian .


Akibatnya meletuslah Perang Uhud di kawasan Bukit Uhud . Dengan jumlah tentera seramai 10 , 000 orang , pasukan kafir Quraisy begitu yakin untuk menghancurkan tentera Islam , sekali gus membunuh Nabi Muhammad SAW dan memadamkan syiar Islam . Di antara mereka turut serta seorang hamba bernama Wahsyi yang telah dijanjikan untuk dimerdekakan jika sekiranya dia berjaya membunuh Sayidina Hamzah . Di pihak pasukan Islam pula , Nabi Muhammad SAW bersama-sama dengan 3, 000 orang menanti serangan tentera Quraisy dengan penuh keberanian . Berlakulah pertempuran yang dahsyat di antara kedua-dua pasukan . Sayidina Hamzah sekali lagi menunjukkan kepahlawanannya . Ramai tentera kafir Quraisy yang gugur akibat menjadi mangsa pedang beliau . Tanda-tanda mula menunjukkan pasukan Islam bakal memenangi pertempuran sekali lagi . Tentera kafir Quraisy dalam keadaan kelam kabut kerana diasak oleh tentera Islam yang berjuang dengan berani , meskipun bilangan mereka sedikit .


Ketamakan terhadap harta rampasan perang menyebabkan sejumlah kecil tentera Islam mula membelakangkan arahan Rasulullah SAW . Pasukan pemanah pula turut terpukau sama oleh kilauan harta hingga sanggup meninggalkan kubu strategik yang dikawal oleh mereka . Melihat keadaan ini , pasukan tentera berkuda
Kafir Quraisy pimpinan Khalid Al-Walid yang ketika itu sudah mula berundur , segera mengambil kesempatan . Mereka mara semula ke medan perang dan melancarkan serangan kilat . Akibatnya ramailah tentera Islam yang cedera dan gugur syahid . Rasulullah SAW sendiri mengalami kecederaan . Dalam keadaan kelam kabut inilah , Wahsyi mula mengintai-intai peluang untuk membunuh Sayidina Hamzah .


Ketika Sayidina Hamzah asyik berhadapan dengan tentera musuh , Wahsyi melontarkan lembingnya secara curi ke arah Sayidina Hamzah . Lembing itu tepat mengenai dada Sayidina Hamzah lalu gugurlah beliau sebagai syuhada . Apabila berita kematian Sayidina Hamzah itu diketahui oleh Hindun binti Utbah , segeralah beliau datang mendekati jasad Singa Allah itu . Dibelahnya dada Sayidina Hamzah lalu dikeluarkan hati beliau . Hindun cuba memamah dan menelan hati Sayidina Hamzah , tetapi Allah SWT tidak mengizinkannya . Dengan perasaan marah , dia mengelar dan mencederakan tubuh pahlawan yang telah membunuh ayahnya , bapa saudaranya serta seorang adik beradiknya .


Begitulah kesudahan hidup seorang pahlawan Islam yang terulung dalam sejarah awal perkembangan Islam . Sebaik sahaja jasad Sayidina Hamzah dibawa ke hadapan Rasulullah SAW , berlinanglah air mata baginda mengenang akan keadaan yang menimpa bapa saudara kesayangan baginda itu . Tambah menyayat hati apabila melihat perut beliau dirobek dan anggota badannya telah dicederakan serta dicacatkan oleh kafir Quraisy .


Diriwayatkan bahawa Wahsyi yang bertanggungjawab membunuh Sayidina Hamzah akhirnya telah memeluk Islam . Ada dikatakan beliau telah diperintahkan untuk tidak berjumpa Nabi Muhammad SAW dan diminta menjauhkan diri supaya tidak mengingatkan kepada baginda akan peristiwa sedih yang telah menimpa bapa saudara baginda itu . Begitulah besarnya kecintaan Rasulullah SAW terhadap Sayidina Hamzah .


MARI KITA RENUNGKAN


Begitulah besarnya jasa dan pengorbanan Sayidina Hamzah terhadap syiar Islam . Beliau sanggup mengorbankan segala-galanya termasuk jiwa raganya demi membela Nabi Muhammad SAW dan agama Islam . Pengorbanan beliau dan syuhada-syuhada yang lain sewajarnya kita contohi dalam mempertahankan dan menyebarkan dakwah Islamiah . Jenazah Sayidina Hamzah bersama-sama dengan syuhada-syuhada Uhud yang lain , kesemuanya berjumlah 70 orang telah disembahyangkan oleh Rasulullah SAW . Kini kawasan pemakaman syuhada Uhud , menjadi salah satu tempat yang mesti dikunjungi oleh jutaan umat Islam yang menunaikan haji setiap tahun . 




Post a Comment

.