.

Annyeonghaseyo chinggu. Welcome to my lovely blog. I love to shout everything about my ultimate bias. I also make some tutorial and freebies. Do visit me, leave your footstep in my cbox.

your cbox code here



© 2013 - Skins by Mayra and someone help me is Yasmin. Cute icon from Pixel and other from wana.
BAB 2 ~ SAHABAT YANG SETIA
Friday, March 1, 2013 - {0 Infinity}




Abu Bakar penyair Arab yang berbakat besar . Dia juga mengetahui sejarah Arab terutama sejarah Quraisy . Selain itu dia juga pandai mentafsir mimpi . Paling mengagumkan saya , dia hartawan muda yang sudah dapat mengumpulkan hartanya sebanyaj 40 ribu dirham , " kata Abu Jahal dengan suara yang lantang supaya didengar orang ramai yang berkumpul di keliling Kaabah .

" Janganlah kamu terlalu memuji Abu Bakar kerana dia juga ada kelemahannya ! " teriak Abu Lahab pula .

" Apa dia? Cuba sebutkan ? " tanya Abu Jahal .

" Tidakkah kamu tahu yang Abu Bakar tidak pernah bersama kita menyembah al-Latta dan al-Uzza ? Dia juga tidak pandai menggunakan usia mudanya berseronok-seronok dengan wanita . Dia tidak meminum arak dan tidak pandai berjudi . Itulah kelemahannya , " jawab Abu Lahab . Disambut dengan gelak-ketawa orang ramai .

" Jangan kamu persendakan Abu Bakar . Dia satu-satunya anak lelaki yang bakal mewarisi semua harta kekayaan saya ! " teriak Abu Quhafah pula . Dia tersinggung apabila nama anaknya diaibkan di khalayak ramai .

Kemudian katanya lagi , " Sudah lupakah kamu siapa nama Abu Bakar yang sebenar ? Baiklah , biar saya ingatkan kamu . Nama dia yang sebenar ialah Abdul Kaabah . Ibunya bernazar di hadapan Kaabah mahu menamakan sempena nama Kaabah sekiranya mendapat anak lelaki . Dia satu-satunya orang Arab yang bernama Abdul Kaabah atau hamba kepada Tuhan Kaabah . Tidakkah itu suatu kemuliaan kepada Abu Bakar ? "
Orang ramai terdiam apabila mendangar kata-kata Abu Quhafah itu . Abu Jahal dan Abu Lahab juga mendiamkan diri . Melihat keadaan itu , maka Abu Quhafah berkata lagi , " Abu Bakar jujur dan amanah dalam perniagaan . Dia tidak pernah menipu dan menzalimi sesiapa . Selalu membantu mereka yang memerlukan bantuan . Dia sering menjadi penebus mereka yang berbuat kesalahan . Apakah kerana dia tidak meminum arak , berjudi dan menyembah tuhan-tuhan kita itu , kamu katakan itu suatu kelemahan ? "

" Saya lebih baik daripada dia kerana selalu menyembah tuhan kita , " kata Abu Lahab pula dengan bangga .

" Memang benar kamu selalu menyembah tuhan kita. Tetapi kamu juga selalu menipu, mengambil hak orang , berlaku zalim . Adakah kamu mahu saya dedahkan satu per satu kejahatan yang sudah kamu lakukan ? "
Muka Abu Lahab berubah menjadi pucat apabila mendengar kata-kata Abu Quhafah . Dia bimbang rahsianya didedahkan oleh Abu Quhafah di hadapan orang ramai .

" Wahai Abu Quhafah , maafkan saya kerana sudah menyinggung perasaan kamu . Saya berjanji tidak mempersendakan Abu Bakar lagi . Dia sememangnya lelaki baik . Kami amat menghormatinya . " Akhirnya Abu Lahab mengalah .

Abu Bakar yang turut berada di situ tidak menunjukkan rasa marah ataupun berdukacita . Beliau sedang memikirkan dunia perniagaannya . Tambahan pula , esok beliau berangkat ke Yaman membawa barang-barang perniagaannya . Beliau lebih berminat menjadi peniaga daripada penyair ataupun pentafsir mimpi . Bagi beliau , mengarang syair dan mentafsir mimpi itu cuma kegiatan sampingan bagi memenuhi masa lapang . Dunia perniagaan lebih menarik perhatian beliau . Tambahan pula , pada usia yang masih muda beliau sudah dapat mengumpulkan harta berjumlah 40, 000 dirham .

Abu Bakar terus pulang ke rumah lalu membuat persiapan bagi berangkat ke Yaman . Pada keesokan harinya , beliau bersama rombongan peniaga dari Mekah bertolak ke Yaman . Abu Bakar merasakan tuahnya ada dalam perniagaan kerana setiap kali sampai di Yaman , barang-barang dagangannya yang ramai dibeli orang . Mereka senang hati berurusan dengan Abu Bakar kerana beliau ramah , baik hati dan jujur dalam perniagaan . Beliau beroleh keuntungan yang banyak .

" Di sini ada seorang tua yang alim . Dia pandai ilmu firasat . Saya mahu berjumpa dengan dia . Mahukah saudara temankan saya ? " tanya Lubabah, rakan yang sama-sama berniaga dengan Abu Bakar .
" Boleh juga," jawab Abu Bakar . Tambahan pula , beliau tidak mahu menghampakan harapan kawan yang sama-sama berniaga di Yaman .

Mereka berdua pun pergi ke rumah orang tua itu . Dia berada di dalam sebuah bilik dan sesiapa yang hendak menemuinya perlu masuk seorang demi seorang .

Pada mulanya Abu Bakar tidak berminat mahu bertemu dengan orang tua itu . Tambahan pula , kedatangannya hanya bagi menemankan sahabatnya . Tetapi berlaku sesuatu yang aneh .

" Saya sudah selesai bertemu dengan orang tua yang alim itu . Dia berpesan supaya kamu pula masuk bertemu dengannya , " kata Lubabah .

" Macam mana dia tahu saya ada di sini ? " tanya Abu Bakar dengan rasa hairan .

" Dia pandai ilmu firasat . Mungkin ada sesuatu yang menarik sekiranya kamu pergi bertemu dengannya , " jawab Lubabah .

Akhirnya Abu Bakar bersetuju bertemu dengan orang itu . Tambahan pula , tetamu yang lain semuanya sudah pulang . Abu Bakar masuk ke dalam bilik itu lalu memberi ucapan selamat .

" Benarkah tuan orang Arab ? " tanya orang tua itu .

" Memang benar saya orang Arab , " jawab Abu Bakar .

" Berbangsa Quraisy ? " tanya orang tua itu lagi .

" Benar , " jawab Abu Bakar.

" Daripada keluarga Bani Tamim ? " Orang tua itu bertanya lagi .

" Memang benar, tuan . " Abu Bakar berasa hairan bagaimana orang tua itu mengetahui latar belakangnya.

" Tuan orang yang baik , daripada keluarga yang baik dan nama tuan kelak akan terkenal , " kata orang tua itu sambil memuji Abu Bakar .

"Terima kasih, tuan. Boleh saya pulang?" ujar Abu Bakar.

" Tunggu dahulu , " katja orang tua itu . " Ada sesuatu pada diri tuan yang mahu saya lihat . "

" Apa maksud tuan ? " tanya Abu Bakar pula .
" Bolehkah saya melihat perut dan paha kiri tuan ? " Orang tua itu bertanya pula .
" Saya tidak mahu menunjukkan selagi tuan tidak menceritakan perkara yang sebenarnya , " balas Abu Bakar .
" Mengikut firasat saya dan berdasarkan kitab-kitab yang saya baca , akan diutuskan seorang nabi di tanah Arab . Dia daripada bangsa Quraisy . Nabi itu akan dibantu oleh seorang lelaki berkulit putih , kurus dan ada tahi lalat pada perut dan ada tanda pada paha sebelah kiri . Saya mahu memastikan tanda-tanda itu ada pada tuan , " kata orang tua itu .

Maka barulah Abu Bakar bersetuju memperlihatkan perut dan paha kirinya kepada orang tua itu . Selepas melihatnya , maka orang tua itu pun berkata , " Demi Tuhan , tuanlah orangnya yang akan menjadi sahabat nabi itu . "

Abu Bakar tidak menceritakan perkara itu kepada sesiapa termasuk Lubabah . Tambahan pula beliau belum dapat memastikan kebenarannya . Namun otak beliau ligat berfikir . Benarkah akan diutuskan seorang nabi di tanah Arab daripada kalangan suku bangsa Quraisy ? Sekiranya benar , siapakah orang itu ? Benarkah beliau akan menjadi sahabat nabi itu ?

Sebelum berangkat balik ke Mekah , Abu Bakar menemui orang tua itu sekali lagi . Kali ini beliau pergi sendirian . " Benarkah akan diutus seorang nabi di kalangan kami ? " tanya Abu Bakar kepada orang tua itu .

" Memang benar . Perkara itu sudah tercatat di dalam kitab , " jawab orang tua itu .

" Bolehkah nyatakan siapakah orangnya ? Tanya Abu Bakar lagi .

" Dia lelaki yang paling baik di kalangan kamu," jawab orang tua itu .

" Bagaimana saya hendak mengenalinya?" tanya Abu Bakar lagi .

" Dia dikurniakan mukjizat dan mengetahui perkara ghaib," jawab orang tua itu .

Abu Bakar mahu bertanya lagi tetapi orang tua itu tertidur lena . Abu Bakar tidak sampai hati hendak menganggunya . Apabila Abu Bakar bangun hendak keluar dari bilik maka orang tua itu terjaga lalu berkata , " Bolehkah tuan bacakan beberapa rangkap syair yang saya karang kepada penduduk Mekah ? " tanya orang tua itu .

" Boleh , apa salahnya , " jawab Abu Bakar .

Maka orang tua itu pun memberi beberapa rangkap syair yang dikarangnya sendiri bagi dibacakan oleh Abu Bakar apabila sampai di Mekah . Abu Bakar menyimpan syair itu dan tidak memberitahu kepada sesiapa perkara itu .




Sampai sahaja di Kota Mekah, Abu Bakar terus pulang ke rumah bagi bertemu dengan keluarganya . Kemudian barulah beliau pergi ke Masjidil Haram . Kelihatan orang ramai sedang berkumpul di hadapan Kaabah. Abu Jahal , Abu Lahab , Abu Sufian dan ramai lagi pembesar Quraisy turut berada di situ . Mereka mengalu-alukan kedatangan Abu Bakar.

" Wahai Abu Bakar , kami sedang berada dalam kesusahan . Kedatangan kamu tepat pada masanya . Semoga kamu dapat membantu kami menyelesaikan kekusutan ini , " kata Abu Jahal dengan gembira kerana yakin Abu Bakar orang yang bijaksana . Banyak masalah kaum Quraisy dapat diselesaikan dengan bantuannya .

" Saya akan membacakan sebuah syair yang ditulis oleh seorang tua di negeri Yaman ! " kata Abu Bakar dengan mada suara yang tinggi supaya didengar oleh orang ramai . Beliau seolah-olah tidak menghiraukan aduan Abu Jahal mengenai masalah yang sedang mereka hadapi .

" Wahai Abu Bakar ! " teriak Abu Jahal pula . " Kami tidak berminat mendengar bacaan syair kamu itu kerana perasaan kamu terganggu . Selama kamu tidak ada di sini , Muhammad sudah melukakan hati kami . "

Muhammad itu sahabat baik saya . Apa yang sudah dilakukannya sehingga kamu berasa sakit hati ? " tanya Abu Bakar pula . Beliau tidak sabar hendak mengetahui perkara yang sudah dilakukan oleh Muhammad .

" Sesungguhnya sahabat baik kamu Muhammad sudah mengaku menjadi nabi . Dia membawa agama baru dan mempersendakan tuhan-tuhan kita . Itulah yang membuat kami berasa sakit hati , " jawab Abu Lahab pula sambil meluahkan rasa marahnya .

" Apakah pengakuan Muhammad itu menggugat kedudukan kamu sebagai pembesar Quraisy ? " tanya Abu Bakar pula .

" Saya tidak takut sekiranya dia menjadi pembesar Quraisy . Tetapi apa yang menjadi masalah ialah pengakuannya itu memecahbelahkan perpaduan masyarakat Arab terutama kaum Quraisy . Perbuatannya menghina al-Latta dan al-Uzza itu yang paling menyakitkan hati kami , " jawab Abu Lahab .

Muhammad orang yang baik . Kami menggelar dia al-Amin kerana tidak pernah berdusta . Selama ini kami percaya semua kata-katanya . Kami menyayangi dia seperti anak sendiri . Tetapi tiba-tiba dia berubah . Kata-katanya menyakitkan hati kami . Perasaan sayang kami sudah bertukar menjadi benci , " kata Abu Sufian pula .

" Benarkah seperti apa yang kamu katakan ? Saya tidak dapat mempercayainya . Mustahil Muhammad berubah dalam masa yang singkat , " kata Abu Bakar pula .

" Kami berkumpul di sini bagi membincangkan perihal Muhammad . Saya mencadangkan supaya kamu mewakili kami bertemu dengan Muhammad . " Cadangan Abu Jahal disokong orang ramai .

" Apakah yang kamu harapkan daripada saya ? Sesungguhnya saya tidak sanggup memusuhi Muhammad kerana kami bersahabat baik semenjak kecil , " kata Abu Bakar pula .

" Kami mahu kamu menyiasat punca tiba-tiba Muhammad berubah ? Sekiranya dia sakit , maka kami sanggup mencari tabib bagi mengubatinya . Sekiranya dia mahu menjadi ketua , maka kami sanggup melantik dia menjadi ketua . Sekiranya dia mahu beristeri lagi , maka kami sanggup mencarikan anak gadis yang paling cantik bagi menjadi isterinya , " kata Abu Lahab .

" Baiklah , saya bersetuju sekiranya itu permintaan kamu , " kata Abu Bakar . Kemudian beliau keluar dari Masjidil Haram lalu terus ke rumah Abu Talib bagi berjumpa dengan Muhammad .
Kebetulan ketika itu Nabi Muhammad SAW ada di rumah . Apabila melihat Abu Bakar datang , beliau menyambutnya dengan gembira . Abu Bakar juga kelihatan gembira kerana sudah lama tidak berjumpa dengan beliau .

Selepas bertanya khabar berita , maka Abu Bakar pun berkata , " Wahai sahabatku Muhammad , saya dapati orang ramai berkumpul di kelilingi Kaabah . Mereka sedang bercakap berkenaan kamu . Apakah benar seperti tuduhan mereka yang kamu membawa agama baru dan kufur kepada ajaran nenek moyang mereka ? " tanya Abu Bakar .

Nabi Muhammad SAW tidak terkejut mendengar pertanyaan itu . Beliau seperti sudah menjangka seperti itu yang akan ditanya oleh Abu Bakar . Kemudian beliau berkata , " Memang benar , sesungguhnya saya utusan Allah dan nabiNya . Allah mengutuskan saya menyampaikan risalahnya dan mengajak kamu kepada agama yang benar . Berimanlah kepada Allah . Janganlah kamu menyembah selain Allah dan patuh serta taatlah kepadaNya . "

" Wahai sahabatku , Muhammad . Boleh ceritakan bagaimana kamu dipilih menjadi utusan Allah ? " tanya Abu Bakar lagi .

Lalu Muhammad mengatakan yang wahyu pertama daripada Allah SWT yang disampaikan oleh malaikat Jibril baru sahaja diterimanya semasa berada di dalam Gua Hirak .

" Boleh saya tahu apa yang kamu buat di gua itu ? " tanya Abu Bakar lagi .

Muhammad menjawab dengan mengatakan , pada setiap tahun beliau mengasingkan dirinya dengan duduk seorang diri di dalam Gua Hirak selama sebulan . Di situ beliau berfikir dan beribadat . Berfikir keadaan masyarakat Arab yang berada dalam keadaan jahiliah dan kesesatan . Mereka melakukan pelbagai maksiat dan kejahatan sehingga sanggup meminum darah mangsa yang dibunuh serta menanam bayi perempuan hidup-hidup . Keadaan mereka lebih kejam daripada binatang . Beliau berfikir bagaimana hendak memperbaiki masyarakat jahiliah itu . Beliau juga memikirkan kebesaran Allah SWT yang menjadikan alam ini . Kemudian , beliau melakukan amal ibadat dengan menyembah Allah SWT menurut ajaran agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim . Sehinggalah pada suatu hari beliau didatangi oleh malaikat Jibril yang membawa wahyu Allah .

Sebaik mendengar kata-kata yang diucapkan oleh Nabi Muhammad SAW , maka Abu Bakar teringat kata-kata orang tua yang ditemuinya di negeri Yaman . Menurut orang tua itu , seorang nabi atau utusan Allah dikurniakan mukjizat dan mengetahui perkara ghaib .

" Wahai sahabatku Muhammad , kamu mengaku pesuruh Allah . Apakah buktinya ? " tanya Abu Bakar .

" Wahai sahabatku , Abu Bakar. Kamu sudah lupakah orang tua yang kamu temui di Yaman tempoh hari ? " tanya Nabi Muhammad SAW pula .

" Ramai orang tua yang saya temui . Orang tua yang mana satu ? " tanya Abu Bakar pula . Beliau berpura-pura tidak tahu bagi menguji Nabi Muhammad .

" Orang tua yang memberi kamu serangkap syair bagi dibacakan kepada penduduk Mekah , " jawab Nabi Muhammad .

" Malaikat yang pernah menemui nabi-nabi sebelum saya yang memberitahu , " jawab Nabi Muhammad SAW .
Mendengar jawapan itu , maka Abu Bakar pun mendapat hidayah . " Memang benarlah kamu seorang rasul dan saya orang pertama yang menyokong kamu , " katanya .

" Katakanlah tidak ada Tuhan yang disembah selain Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah , " kata Nabi Muhammad SAW .

Abu Bakar pun mengucap dua kalimah syahadah dengan disaksikan sendiri oleh Nabi Muhammad SAW .

Allah sudah membebaskan kamu daripada azab neraka , " kata Nabi Muhammad SAW .
Abu Bakar berasa sangat gembira lalu bertanya , " Wahai Rasulullah , apakah tugas saya sekarang ? " tanya Abu Bakar .

" Serulah manusia supaya menyembah Allah , " jawab Nabi Muhammad SAW .

Abu Bakar menerima tugas itu dengan senang hati . Beliau kembali semula ke Masjidil Haram bagi menemui pembesar-pembesar Quraisy yang sedang berkumpul di sana menunggu kedatangannya .

Melihat kedatangan Abu Bakar , maka Abu Jahal segera bertanya , " Wahai Abu Bakar , sudahkah kamu jalankan tanggungjawab yang kami beri ? "

" Wahai pembesar-pembesar Quraisy , saya sudah berjumpa dengan Muhammad dan saya sudah membuat penyiasatan . Saya harap apa yang saya katakan nanti memuaskan hati tuan-tuan semua , " jawab Abu Bakar .

" Cepatlah beritahu kerana kami tidak sabar hendak mengetahuinya , " teriak Abu Lahab pula .

" Sebelum itu saya mahu bertanya dahulu kepada kamu dan kamu perlu menjawabnya secara jujur dan berterus terang kerana saya juga akan bersikap jujur dan berterus terang dengan kamu , " kata Abu Bakar .

" Tanyalah dan kami akan menjawabnya dengan jujur dan berterus terang , " kata Abu Sufian pula .

" Kamu sudah mengenali Muhammad semenjak dia kecil . Adakah dia penipu dan selalu bercakap bohong ? " tanya Abu Bakar .

" Sesungguhnya Muhammad itu orang yang baik , jujur dan tidak pernah bercakap bohong ! " jawab Abu Sufian .

" Kami memberi gelaran al-Amin kerana dia sentiasa berada di pihak yang benar dan tidak pernah berbohong , " kata Abu Jahal pula .

" Sekiranya Muhammad mengatakan ada musuh yang hendak menyerang kita, adakah kamu percaya ? " tanya Abu Bakar lagi .

" Kami percaya kerana dia tidak pernah bercakap bohong , " jawab Abu Lahab pula .

" Sekiranya kamu percaya Muhammad tidak pernah bercakap bohong , mengapa kamu tidak percaya apabila dia mengatakan dia pesuruh Allah ? " Pertanyaan Abu Bakar menimbulkan kemarahan Abu Jahal , Abu Lahab dan Abu Sufian .

" Wahai Abu Bakar , setahu kami , kamu bijaksana . Sebab itu kami melantik kamu sebagai wakil kami bertemu dengan Muhammad . Kami suruh kamu siasat sebab dia berubah kelakuannya . Sekiranya sakit , kami usahakan ubatnya ! Sekiranya dirasuk jin , kami carikan dukun yang handal ! " marah Abu Jahal .

" Saya sudah menyiasat keadaan Muhammad . Daripada siasatan itu , memang benarlah Muhammad itu rasul dan saya sudah menjadi pengikut Muhammad , " kata Abu Bakar .

" Diam kamu wahai Abu Bakar ! " herdik Abu Lahab pula . " Sekiranya kamu terus berkata-kata , akan saya pukul . "

Muhammad mengajak kita menyembah Allah yang esa . Dia melarang kita menyembah al-Latta dan al-Uzza . " Abu Bakar tidak langsung menunjukkan rasa takut .

Abu Lahab , Abu Jahal dan Abu Sufian tidak dapat menahan perasaan marah lalu menghunus pedangnya dan menerpa ke arah Abu Bakar . Melihat keadaan itu , salah seorang lelaki Bani Tamim yang berada di situ berkata , " Sekiranya Abu Bakar mati , maka kaum Bani Tamim akan datang menuntut bela atas kematiannya . Sesungguhnya di kalangan Banu Tamim ramai pahlawan yang handal . Kamu akan rugi sekiranya menjadi musuh kami . "

mendengar kata-kata itu , Abu Lahab , Abu Jahal , dan Abu Sufian menyarung semula pedangnya . Mereka tidak berani bertindak ke atas Abu Bakar kerana bimbang orang Bani Tamim menuntut bela . Mereka segera beredar pulang ke rumah masing-masing .




Abu Bakar melangkah masuk ke dalam Masjidil Haram dengan tenang . Beliau mencari Nabi Muhammad SAW . Sebentar tadi , beliau ke rumah Khadijah bertanya di mana Nabi Muhammad SAW . Menurut Khadijah , suaminya pergi ke Masjidil Haram bagi beribadat . Abu Bakar terus menuju ke masjid .

Dilihatnya Nabi Muhammad sedang tawaf mengelilingi Kaabah . Abu Bakar turut tawaf dengan berjalan di belakang Nabi Muhammad SAW .

" Di mana Muhammad ? " Tiba-tiba kedengaran suatu suara . " Saya mencari Muhammad sebab saya mahu membunuhnya ! "

Abu Bakar menoleh ke arah datangnya suara itu . Kata-kata itu diucapkan oleh lelaki bernama Uqbah bin Abu Mukith .

" Muhammad sedang tawaf " Kedengaran suatu suara dari celah orang ramai yang berada di dalam Masjidil Haram itu .

Uqbah segera menuju kepada Nabi Muhammad SAW lalu mencekik leher baginda . Abu Bakar yang melihat kejadian itu segera bertindak .

" Adakah kamu mahu membunuh lelaki yang menyeru kita kepada kebaikan ? Yang mengatakan tiada Tuhan yang berhak disembah selain daripada Allah ? " tanya Abu Bakar sambil melepaskan tangan Uqbah dari leher Nabi Muhammad SAW .

" Kamu jangan masuk campur . Ini urusan saya dengan Muhammad ! " marah Uqbah .

" Saya tidak akan membiarkan kamu membunuh Muhammad , " balas Abu Bakar . Beliau bersedia berlawan dengan Uqbah .

" Saya akan meminta bantuan daripada suku Bani Tamim , " balas Abu Bakar pula .

Nabi Muhammad mengucapkan terima kasih kepada Abu Bakar . Kemudian beliau menyambung ibadatnya . Abu Bakar terus menunggu sehingga Nabi Muhammad selesai Tawaf . Kemudian dia berkata , " Wahai Rasulullah , kamu sering disakiti oleh mereka yang jahil . Izinkan saya menyeru mereka supaya menyembah Allah dan mengaku kamu pesuruh Allah . "

" Wahai sahabatku , Abu Bakar . Jumlah kita masih sedikit . Kita masih sedikit . Belum masanya kita berterus terang dengan mereka , " kata Nabi Muhammad SAW .

" Wahai Rasulullah , izinkan saya mengajak orang ramai supaya menyembah Allah dan mengaku kamu pesuruh Allah ! " pinta Abu Bakar lagi .

" Kita masih sedikit , wahai Abu Bakar , " ulang Nabi Muhammad SAW .

" Wahai Rasulullah , saya mahu berdakwah , " pinta Abu Bakar lagi .

Disebabkan Abu Bakar kelihatan begitu bersungguh-sungguh maka akhirnya diizinkan oleh Nabi Muhammad . Maka Abu Bakar pun berdiri di hadapan Kaabah lalu berseru , " Wahai sekalian manusia , sembahlah Allah yang menjadikan alam ini . Allah sudah mengutuskan Muhammad sebagai RasulNya . Oleh itu , sembahlah Allah dan percayalah kepada Muhammad . "

Mendengar seruan itu maka orang ramai menjadi marah lalu mengerumuni Abu Bakar . Beliau cuba melarikan diri tetapi dapat dipukul oleh seorang pemuda bangsawan Quraisy bernama Utbah bin Rabiah . Abu Bakar terjatuh lalu ditendang dan dipijak oleh Utbah sehingga hidungnya berlumuran darah .

Melihat kejadian itu , beberapa orang Bani Tamim yang kebetulan berada di situ datang membantu . " Abu Bakar daripada suku kami . Sekiranya Abu Bakar mati , nescaya kami menuntut bela . Orang pertama yang akan kami bunuh ialah Utbah , " kata salah seorang daripada mereka .

" Adakah kamu juga sudah menjadi pengikut Muhammad ? " tanya Utbah pula .

" Kami bukan membela Muhammad tetapi membela Abu Bakar kerana dia sama suku dengan kami . 

Sekiranya kamu terus memukul Abu Bakar , maka kami akan memukul kamu pula , " jawab mereka .

Mendengar amaran itu , Utbah berhenti memukul Abu Bakar kerana bimbang suku Bani Tamim memukulnya . Kemudian orang Bani Tamim itu membawa Abu Bakar pulang ke rumah ayahnya , Abu Quhafah yang terletak tidak jauh dari Masjidil Haram .

Sambil menahan kesakitan Abu Bakar bertanya , " Bagaimana keadaan Muhammad ? Adakah dia selamat ? "

" Kamu sepatutnya memikirkan diri kamu dahulu sebelum memikirkan hal orang lain , " kata salah seorang Bani Tamim itu .

" Sesungguhnya Muhammad itu sahabat saya . Saya lebih mengutamakan dia daripada diri saya sendiri , " kata Abu Bakar .

Mendengar kata-kata itu , maka orang Bani Tamim itu pun pergi dari situ . Abu Bakar bertanya pula kepada ibunya , Salma , " Wahai ibuku , di mana Muhammad? Adakah dia selamat ? "

" Ibu tidak tahu , " jawab Salma .

Jawapan itu membuat Abu Bakar semakin susah hati . Beliau bimbang Nabi Muhammad SAW dibunuh oleh orang Quraisy yang berada di dalam Masjidil Haram itu .
" Saya tidak akan menyentuh makanan dan minuman sehingga saya tahu keadaan Muhammad , " tegas Abu Bakar .

Salma bimbang melihat keadaan anaknya . Tidak lama kemudian , datang Ummu Jamil bagi melihat keadaan Abu Bakar . " Wahai Ummu Jamil , beritahu saya bagaimana keadaan Muhammad ? " tanya Abu Bakar .

" Saya tidak akan menjawabnya kerana ibumu ada di sini , " jawab Ummu Jamil .

" Jangan bimbang kerana ibu saya tidak akan menceritakannya kepada orang lain , " pujuk Abu Bakar .

" Beritahulah segera kerana anak saya tidak akan makan dan minum selagi belum tahu keadaan Muhammad , " kata Salma lalu berjanji merahsiakannya .

Muhammad dalam keadaan selamat . Sekarang dia mendapat perlindungan di rumah Darul Arqam , " kata Ummu Jamil .

" Saya tidak akan menyentuh makanan dan minuman sehingga saya berjumpa dengan Rasulullah , " kata Abu Bakar lagi .

" Apabila keadaan sudah lengang nanti , ibu bawa kamu ke rumah Darul Arqam , " janji ibunya. Barulah Abu Bakar kelihatan senang hati .

Apabila hari sudah petang dan suasana di jalan tidak sibuk lagi , Abu Bakar dipimpin oleh Ummu Jamil dan ibunya menuju ke rumah Darul Arqam . Melihat kedatangannya , maka Nabi Muhammad SAW menyambut lalu memerluk Abu Bakar .

" Wahai Rasulullah , tidak ada yang lebih membimbangkan saya selain keselamatan dirimu . Sekarang saya tidak sakit lagi kecuali sedikit di bahagian muka , " kata Abu Bakar .

Nabi Muhammad SAW gembira melihat keadaan Abu Bakar . Kemudian beliau berdoa untuk Ummu Jamil dan Salma , ibu Abu Bakar . Kedua-duanya lalu memerluk agama Islam .


Post a Comment

.